Oleh : Aimi Sani / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Mac. – Pelbagai kaedah dan mekanisme kutipan bagi Tabung Dana Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam (NBD) telah diperkenalkan. Salah satu kaedah yang cepat dan mudah ialah melalui Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) Tabung Dana Pembinaan Masjid NBD.
Sejak perkhidmatan kutipan sumbangan Tabung Dana Pembinaan Masjid NBD dibukakan melalui SMS dari 2015 hingga 28 Februari 2025, Tabung Dana bagi pembinaan masjid telah berjaya mengutip sebanyak BND2,112,306.
Sejumlah BND215,975 telah berjaya dikutip melalui penerimaan sumbangan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD yang telah dibukakan selama 10 bulan bermula 27 Februari 2024 hingga 26 Disember 2024 yang lalu.
Orang ramai kini sekali lagi berpeluang untuk menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD melalui SMS bagi tempoh 10 bulan bermula pada hari ini sehingga Rabu, 10 Rejab 1447 bersamaan 31 Disember 2025.
Sumbangan seangkat-angkat hati boleh diberikan melalui SMS dengan menaip MASJID diikuti 100, 50, 20, 15, 10, 5 atau 1 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST) dan Progresif Sdn. Bhd. (Progresif), manakala 39999 bagi pengguna Syarikat Imagine Sdn. Bhd. (Imagine).
Sehubungan dengan itu, pagi tadi telah diadakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid yang disempurnakan oleh tetamu kehormat Majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD bertempat di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Awang Cheong Chee Keong serta para pengarah, pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU.
Mengiringi tetamu kehormat bagi pelancaran SMS Tabung Dana berkenaan ialah Pengarah Urusan Jualan DST, Awang Harpan bin Haji Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Dayang Nurul Haniah binti Haji Jaafar; dan Naib Presiden Kanan Syarikat Imagine, Awang Haji Mohd. Radziman bin Haji Abdul Rahman serta Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku Ketua Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD.
Majlis Pelancaran SMS berkenaan diserikan lagi dengan tayangan klip video promo SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD, diikuti dengan acara penghantaran sumbangan melalui SMS beramai-ramai oleh para hadirin.
Majlis diteruskan dengan Majlis Penerimaan Kutipan Sumbangan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD bagi 2024 Masihi. Pengarah Urusan Jualan DST menyerahkan sumbangan daripada kutipan SMS sebanyak BND162,761. Diselajurkan dengan penyampaian sumbangan dari DST sebanyak BND10,000 untuk Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD.
Sementara itu, Progresif yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif menyerahkan sebanyak BND39,641 dari hasil kutipan SMS dan hasil sumbangan dari Progresif juga turut disampaikan iaitu sebanyak BND1,000.
Sementara Syarikat Imagine yang diwakili oleh Naib Presiden Kanan, menyerahkan sebanyak BND3,273 hasil daripada kutipan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD disumbangkan oleh pelanggan dan kakitangan syarikat berkenaan.
Adapun penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD adalah dihasratkan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala dengan membina masjid sekali gus sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat.
Pelancaran dana berkenaan memberi peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menginfakkan (membelanjakan) harta yang dimiliki dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata'ala kepada orang-orang yang membina masjid.
Sehingga Februari 2025, jumlah baki keseluruhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD ialah sebanyak BND27,986,543.29.
Sejak awal penubuhan Tabung Dana sehingga kini, Tabung Dana telah berjaya melaksanakan tiga buah projek pembinaan masjid baharu, sebuah projek tambahan bangunan masjid serta tiga buah projek pemuliharaan dan ketika ini, sebuah projek tambahan bangunan di Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong sedang giat dilaksanakan.
InsyaaAllah, projek seterusnya ialah pembinaan masjid baharu Kampung Lamunin, Daerah Tutong.
Kemajuan yang dicapai adalah merupakan sambutan, komitmen dan sumbangan seangkat hati orang ramai terhadap Tabung Dana berkenaan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala menerima segala amalan kita semua.